Rupanya susah jugak nak cari tukang urut lelaki. Selepas bertanya-tanya di sekitar kampung, kami berjumpa seorang lelaki Indonesia yang tinggal di kampung. Tanpa malu, suami bertanya kalau-kalau dia kenal seseorang yang boleh berurut. Alhamdulillah, mungkin dah rezeki kami dia sudi bawakan kami kepada sahabatnya yang juga seorang Indon berna Haji Ahmad. Maka Abang Indon ni kami bawa ke kereta untuk menunjuk arah rumah sahabatnya.
Lebih kurang 20 minit juga perjalanan kami dari kampung untuk berjumpa Haji Ahmad. Lebih kurang 5.30 petang, kami tiba ke rumah sahabat Abang Indon ni. Biasa lah rumah Indon kan, mereka akan berkongsi beramai-ramai dalam sebuah rumah. Macam rumah yang saya tuju ni, dalamnya ada dua pasang suami isteri dan 2 orang lelaki bujang.
Allah sahaja yang tahu betapa tidak selesanya saya di rumah Indon ni. Rumahnya cantik kerana rumahnya adalah rumah teres yang disewa dari orang Melayu di sini. Saya sangat kagum bila masuk ke dalam rumah mereka, lantainya sangat licin dan bersih. Saya memang tak rasa satu habuk pun di kaki apabila menapak ke dalamnya. Masa kami tiba, ada seorang wanita Indon bersama anaknya sedang makan nasi.
Sungguh saya memang sangat tidak selesa, Pelbagai story yang saya pernah dengar tentang sikap negatif Indon ni. Dengan anak yang berusia 8 bulan, saya menunggu di bahagian ruang tamu. Suami bersiap untuk solat Asar sementara menunggu Haji Ahmad pulang dari kerja. Allah, saya tak tahu nak gambarkan bagaimana perasaan saya berada bersama warga Seberang yang tidak saya kenal latar belakangnya.
Apabila Haji Ahmad dan isteri serta rakan-rakannya pulang dari kerja, rumah yang asalnya hanya ada ibu Indon dan anaknya beserta dengan Abang Indon yang menunjuk arah kepada kami kini dah berubah menjadi riuh dan ramai. Apabila Haji Ahmad tahu yang suami nak berurut , Dia cepat-cepat menukar baju dan solat Asar. Saya nampak dia solat dalam bilik yang tak tertutup rapat. Kemudian bermula lah episod mengurut suami oleh Haji Ahmad. Jadi tinggal la saya dan anak bersama dua orang wanita Indon dan saudara-saudara lelaki mereka yang seramai 4 orang.
Dua wanita Indon tadi melayan anak saya bermain dengan sangat baik.Bahkan diberinya biskut kepada anak saya untuk dimakan. Dalam hati ni saya risau juga, Ya Allah xpe ke anak aku ni makan kat sini dan macam-macam perasaan lagi lah kan.Maklum la saya sekarang berada bersama orang-orang Indon yang bukan saya kenal pun. Kemudian, isteri kepada Haji Ahmad bertanya yang saya nak solat atau tidak. Saya pun mengiyakan yang saya nak solat lagi pun mereka sudi untuk tengokkan anak saya.
Tiga lelaki Indon yang balik bersama Haji Ahmad tadi bergilir-gilir mandi dan solat Asar. Selesai mereka solat Asar saya diajak wanita Indon yang pertama tadi untuk ke bilik air dan menunjukkan bilik untuk solat. Subhanallah, dengan bilik air kecil rumah teres dan dikongsi dengan ramai orang, bilik air mereka sangat bersih. Bahkan saya rasa bilik air mereka lagi bersih dari sesetengah rumah orang kita. Bilik untuk saya solat pula adalah bilik suami isteri.Sangat kemas dan teratur susunannya. Biarpun tiada perabot besar hanya ada perabot kayu yang mereka bina sendiri, tetapi baju mereka tersusun sangat kemas. Bedak dan alatan peribadi tersusun elok di satu ruangan. Dan di hujung satu sudut, kelihatan surah Yasin dan Al-quran terletak elok.
Hati saya tenang dan sangat selesa. Allah, terima kasih temukan saya dengan orang Indon yang baik bahkan punya pegangan yang jauh lebih kuat dari orang kita sendiri. Saya tarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan dan saya tahu ada hikmah mengapa saya ditemukan dengan mereka. Ada juga story indah yang saya boleh share dengan anak-anak pelajar saya.
Saya terbayang pakaian anak muda Indon yang pulang bekerja bersama Haji Ahmad tadi. Mereka berseluar jeans yang koyak di lutut. Ada yang berambut panjang dengan pakaian yang lebih kecil.Tapi, apabila samapai ke rumah, mereka boleh mandi dan solat Asar. Saat itu terkenang anak palajar saya dari tingkatan tiga dan empat yang mengangkat tangan mengaku tidak solat Subuh atau Asar dan sebagainya apabiloa disoal tentang solat. Anak bangsa kita sendiri pun kalau ditanya tentang solat lima waktu masih ramai yang gagal utnuk ditunai selengkapnya.
Selesai mengurut, kami suami isteri melangkah pulang setelah dijamu dengan air teh O dan keropok goreng. Anak saya sendiri pun dah kenyang dengan biskut yang dikongsi bersama anak perempuan Indon tadi. Sampai di rumah, kami berehat dan menunaikan solat Maghrib. saya termenung sekejap mengenang kebaikan Orang Indon yang kami temui tadi. Saya teringat Abang Indon yang menunjuk arah pada kami menolak keras apabila suami menghulurkan duit kopi kepadanya. Bukan banyak pun, tetapi dia menolak dan menjawab saya menolong ikhlas bukan atas tujuan apa-apa.Nggak apa2, simpan aja uwangnya. Saya sekali lagi teringat orang kita, susah untuk bertemu orang kita seikhlas ini. Mungkin satu dalam sejuta. Walaupun miskin, saya sedar mereka lebih kaya dengan keyakinan dan kepercayaan pada Allah. Mereka percaya rezeki berkat itu adalah rezeki yang hanya datang dari usaha yang gigih.
Semoga saya mampu sebarkan kebaikan mereka untuk dicontohi kita semua. Salam kasih sayang dari saya.
Jika anda berminat dengan sebarang produk Shaklee, hubungi tini ye.
KARTINI JUSOH
971615
0139924660( SMS/WHATSAPP)
http://cikgudanvitamin.blogspot.com/
https://www.facebook.com/tini.kartini.140
No comments:
Post a Comment